Siapa kata bermula dari kecil-kecilan jual tudung tak untung? Ikuti kisah dibawah yang sudah ada jenama tudung dalam pasaran dan boleh dikatakan pengusaha tudung yang berjaya !
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Orangnya kecil molek namun semangat dan usaha dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan tudung sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Pelbagai cara dilakukan untuk memastikan jenamanya dapat bersaing dengan butik tudung lain yang kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurut pemilik butik tudung dan selendang Al-Humaira Contemporary (AHC), Hani Elia Rousli, dia perlu bertahan dan bijak mengurus perniagaan yang ditubuhkan sejak Mei 2010 itu.
“Dalam dunia perniagaan, kita perlu lebih kreatif, menguatkan aktiviti pemasaran dan mencari idea menarik agar terus bertahan untuk bersaing dengan jenama lain.
Antara tudung yang dijual ketika tahun 2013..
“Pada masa sama, kita juga harus berusaha gigih mengembangkan perniagaan untuk terus dikenali ramai,” katanya ketika memulakan bicara.
Walaupun ketika awalnya dia hanya memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM700, tidak disangka kini dia mampu memiliki butik sendiri.
Bermula secara perlahan menerusi perniagaan tudung secara dalam talian, Hani Elia meneruskan langkah dengan membuka butik selepas jenamanya mula mendapat tempat di hati penggemarnya.
Ketika itu, dia hanya menggunakan Internet sebagai medium untuk memperkenalkan rekaan dihasilkannya bagi memperoleh pendapatan sampingan.
Akhirnya, wanita berusia 28 tahun ini membuat keputusan membuka butik di Kota Damansara pada September 2011 selepas melihat perkembangan dan penerimaan baik daripada pelanggan.
“Dulu saya hanya menjalankan perniagaan separuh masa kerana bekerja dalam bidang khidmat pelanggan di syarikat telekomunikasi.
“Ketika bekerja, saya lebih banyak memerhati cara wanita berpakaian. Ketika itu, tidak banyak pilihan tudung yang boleh digayakan.
“Ini sekali gus membuatkan ramai yang berasa agak terbatas untuk menampilkan gaya menarik dengan bertudung termasuk diri saya sendiri,” katanya.
Selepas melakukan kajian dan pemerhatian, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan rekaan tudung sendiri apabila melihat sebuah butik Muslimah yang pernah dikunjunginya ketika itu.
Pada masa itu, dia meluangkan masa ketika waktu tengah hari dan sanggup menahan lapar kerana lebih suka berada di butik terbabit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai permintaan dalam bidang perniagaan tudung.
Bermatlamat untuk menghasilkan rekaan tudung dan selendang yang berbeza, Hani Elia berusaha mendapatkan tukang jahit yang mahir dan secara kebetulan dia mengenali tukang cuci di syarikat tempatnya bekerja yang menerima upah menjahit.
“Pada 2009, saya berkahwin dan suami meminta saya berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan.
“Hampir setahun selepas berhenti kerja saya masih belum meneruskan perniagaan tudung secara dalam talian kerana belum memiliki modal mencukupi.
“Namun, selepas setahun berehat saya kembali menjalankan perniagaan yang sudah lama terhenti. Tanpa disangka masih ada pelanggan yang menanti dan menerima baik pembukaan semula jenama ini,” katanya yang kini memiliki 10 pekerja.
Menariknya, rekaan koleksi selendang dan tudung yang ditampilkan sesuai untuk wanita berusia 19 hingga 50-an itu, sesuai mengikut keadaan cuaca di negara ini.
Kebanyakannya menggunakan fabrik sifon dan lycra viscose kerana ia mudah menyerap peluh selain tidak panas yang sesuai dipakai Muslimah sepanjang masa.
Memberi keutamaan kepada penghasilan tudung yang selesa serta kemas, butiknya mengeluarkan sehingga 4,000 helai tudung setiap minggu yang dibahagikan kepada dua iaitu untuk dijual di butik dan secara dalam talian.
Kini butiknya yang berpindah ke Jalan PJU 5/20D, The Strand, Kota Damansara itu sentiasa dikunjungi pelanggan, apatah lagi ketika Ramadan dan Syawal.
Tidak pernah melupakan asal usul perniagaannya, AHC masih aktif di Internet untuk memberi peluang kepada pembeli secara dalam talian membeli koleksi tudung baru di facebook.com/alhumairacontemporary dan alhumairacontemporary.com.
Walaupun pernah mengalami kerugian sehingga RM50,000 pada pertengahan 2011 akibat fabrik yang dibeli tidak sesuai untuk tudung, itu semua dianggap asam garam dalam perniagaan.
“Bagi saya, setiap perkara yang dilakukan untuk berjaya pasti ada cabarannya sebelum dapat mencapai kejayaan diimpikan.
“Saya bersyukur kerana suami (Humaidi Fadzil) yang bertindak sebagai pengarah urusan sentiasa memberi sokongan untuk menyelesaikan setiap masalah dihadapi dengan bijak,” katanya.
Bagi dirinya, dia lebih suka mencari kelainan bukan saja dari segi rekaan saja, malah menitikberatkan konsep fotografi, corak dan pemasaran untuk bertahan lama.
Wanita ini hanya memegang satu prinsip untuk terus berjaya iaitu percaya setiap impian pasti akan dapat dikecapi jika mempunyai semangat, kesungguhan dan berserah kepada Allah.
Ini kerana dalam perniagaan, tiada ungkapan tuah namun dipenuhi dengan usaha yang bersungguh-sungguh agar segala penat lelah membuahkan hasil.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih sudi baca artikel ini. Sila jaga etika komen anda. Please do not SPAM here!